DILEMA ANAK NAZI

0 comments

train2-e1372461719732.jpg

Hamdi membelek helaian buku yang dibacanya semalam, dengan muka yang masih sugul, mata yang masih tidak berapa celik, dia bangun dari tempat tidur dan memesan segelas kopi daripada kakak yang bertugas didalam kereta api. Jelas ternampak kebosanan pada riak muka penumpang disebelahnya. Manakan tidak, ada yang berada di dalam train tersebut sudah lebih dari 3 hari, dan akan menyambung perjalanan untuk beberapa hari lagi sebelum sampai ke Irkutsk, satu daerah yang berdekatan dengan Tasik Baikal.


“Eh Hamdi, kau boleh tidur ke semalam?” Sampuk Muhsin sambil mengerutkan dahinya, mengambarkan mabuk kereta api yang dia alami menyebabkan dia sukar untuk lelapkan mata.


“Boleh je”, jawab ringkas Hamdi sambil meneruskan pembacaannya.


Dan tidak lama selepas itu, Hamdi bersuara; “Kau bosan ke Muhsin?


Mari aku ceritakan satu kisah perang.”


******


Ceritanya tentang dua orang yang sangat akrab lagi dipercayai oleh Adolf Hitler, ketua Nazi yang pernah mengemparkan tentera Rusia dan Amerika dengan kecanggihan teknologi yang dimilikinya, dan dibawahnya adanya beberapa orang saintis yang mampu mereka-cipta peluru berpandu roket V2 pertama dalam sejarah dunia. Hasil teknologi inilah akhirnya telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh Rusia dan Amerika untuk menghasilkan roket yang mampu ke angkasa lepas setelah jatuhnya Jerman.


Hans Frank dan Otto von Wachter, dua susuk yang mungkin tidak dikenali sekarang tapi bahana yang terhasil dari tindak tanduk mereka pastinya tidak akan dilupakan oleh yang mengkaji sejarah.


Hans, merupakan seorang peguam peribadi Hitler, yang terlibat secara langsung dalam misi menceroboh kawasan sekitar Czechoslovakia dan kemudiannya Poland. Digelar Hans “The Nazi butcher”, Hans telah membunuh rakyat yang tidak berdosa begitu ramai sekali terutamanya kaum Yahudi yang sememangnya menjadi sasaran utama dalam misi perang Hitler. Kata Hans, “Kita mesti membunuh bangsa Yahudi ini dimana-mana sahaja mereka kita jumpa!”


Otto, juga merupakan seorang peguam, berasal dari Austria yang menjadi gabenor di Krakow, satu kawasan di Poland yang dijajah dan juga pernah menjadi gabenor di Galacia, Ukraine. Dibawah penguasaannya, seramai 68, 000 orang Yahudi dihalau dari Krakow pada tahun 1940.


******
“Tapi aku bukan nak sampaikan sangat kisah mereka kepada kau Muhsin, mereka ini dah lama mati, setelah Nazi menyerah kalah, Hans ditangkap dan dihukum mati di Nuremberg, manakala Otto menjadi pelarian di pergunungan Salzburg selama 4 tahun sebelum meninggal di Itali.”


“Habis itu apa yang kau nak cuba sampaikan?” Tanya Muhsin yang begitu tertarik dengan cerita Hamdi.


******


“Ceritanya tentang yang masih hidup!”


Anak kedua-dua penjenayah perang ini masih hidup dan berumur lingkungan 70-an. Mereka adalah Niklas Frank dan Horst von Wachter.


“Jika tadi aku ceritakan pada kau yang ayah mereka ini punyai persamaan antara satu sama lain, kedua-duanya adalah Nazi yang berfahaman fasis, keduanya bencikan bangsa Yahudi dan mereka adalah pembunuh.”


Ceritanya berbeza antara Niklas dan Horst, sangat berbeza!


Niklas, menulis buku dan memberikan ceramah yang mengkritik ideologi Nazi. Malahan dia menganggap ayahnya adalah pembunuh dan sememangnya wajar untuk ke tali gantung. Sedikit pun tidak ada pada riak wajahnya rasa kasih dan hormat kepada ayahnya sebagai seorang anak, baginya kebenaran itu tetap perlu diperjuangkan walaupun menentang ayahnya sendiri.


Horst pula, di usia yang tua ini, dia masih menyimpan koleksi gambar ayahnya bersama dengan tentera Nazi, malahan dalam percakapannya masih mengatakan ayahnya berbeza ketika bersama Nazi dan ketika bersama keluarga. Sememangnya Horst sempat merasakan kasih sayang daripada ayahnya kerana ketika dalam pelarian di Salzburg, ibunya sempat beberapa kali bertemu ayahnya dan mereka meluangkan masa yang cukup lama bersama. Walaupun dia mengakui bencana yang dibawa oleh Nazi, namun dia masih tidak dapat menghukum ayahnya dan rasa kasih seorang anak kepada ayah itu masih tidak dileraikan walaupun ayahnya ternyata seorang pembunuh ribuan manusia.


******


“Rumit ya...jika hal ini jika terjadi pada diri kita bagaimana?” soal Muhsin secara tiba-tiba.


“Ya, cukup rumit Muhsin, tapi cerita ini bukan cerita yang baru untuk kita sebagai orang Islam.”

“Cerita ini sama sahaja dengan keadaan Abu Huzaifah yang terpaksa berhelah dengan keluarganya kerana membela si hafiz Salim, cerita ini juga pernah terjadi kepada Abu Ubaidah al- Jarrah yang terpaksa membunuh ayahnya, dan begitu juga dengan kisah derita Mus’ab bin Umair yang kaya raya tapi diseksa batinnya dengan mogok lapar dari ibu yang dikasihinya.


“Lihatlah kepada Ikrimah semasa peristiwa sebelum Islam. Ikrimah yang bersama-sama ayahnya Abu Jahal begitu hebat dalam menentang Islam, bahkan kematian ayahnya ditangan orang Islam seawal perang pertama Badar makin membuatkan semangatnya membara-bara untuk mengalahkan Rasulullah dan para sahabat. Lihatlah pada Khaled al-Waled, terketar-ketar dia membaca Quran kerana yang disebut didalam quran itu adalah ayahnya dan pembesar Quraisy. Namun akhirnya mereka memeluk juga agama yang suci dan benar ini! Ternyata kebenaran itulah menjadi pilihan walaupun pahitnya bukan kepalang!”


“Menarik cerita mu Hamdi, sangka ku apa kaitannya kau menceritakan kisah perang Nazi dan dilema anak mereka, rupanya ianya sungguh dekat dan ada kaitan dengan kita!” balas Muhsin setelah mendengar penceritaan yang bersungguh-sungguh dari Hamdi.


Tanpa mereka sedar, sudah hampir sejam mereka berbual dan bercerita. Kopi yang dipesan tanpa sedar juga telah habis dihirup. Perjalanan masih berbaki beberapa jam lagi sebelum sampai ke destinasi, sementara itu orang disekeliling mereka masih mengelamun memandang kearah tingkap. Jasad mereka bersama disana tetapi fikiran mereka mungkin ditempat yang berbeza pastinya, ada yang difikirannya bersama dengan insan yang disayang, ada yang didalam fikirannya penuh dengan masalah dan keserabutan.

Andaikata ibu mempunyai seratus nyawa sekalipun, dan nyawa ibu keluar satu demi satu, nescaya saya tetap tidak akan meninggalkan Islam sama sekali.

Mus’ab bin Umair


Post a Comment