FRIDAY WRAP (6 JUN 2014 - 13 JUN 2014)

0 comments
Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.

AZAM Russia kini kembali membawakan anda berita-berita terkini dari seluruh pelosok dunia!



EU sedia kerjasama dengan kerajaan baharu Palestin

6 Jun 2014


BRUSSELS - Duta Kesatuan Eropah (EU) ke Amerika Syarikat mengumumkan Eropah sedia bekerjasama dengan kerajaan perpaduan Palestin yang yang ditubuhkan.

Joao Vale de Almeida berkata, EU akan memantau setiap perkembangan kerajaan tersebut.

Kelmarin menurut Press TV, barisan Kabinet baharu terdiri daripada 17 menteri yang diketuai Perdana Menteri, Rami Hamdallah mengangkat sumpah dalam satu majlis ringkas di ibu pejabat gerakan Fatah di Tebing Barat.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Negara Amerik Syarikat, Jen Psaki turut mendedahkan Washington merancang untuk bekerjasama dengan kerajaan baharu Palestin.

"Kami akan menilai komposisi dan dasar mereka. Jika ada keperluan, kami akan menyusun semula pendekatan AS," katanya.

Pengiktirafan negara Barat terhadap kerajaan baharu Palestin telah memberi tamparan hebat kepada Israel yang sebelum ini menggesa masyarakat antarabangsa supaya tidak mengiktiraf usaha tersebut.

Dalam satu kenyataan, Israel turut menzahirkan kekecewaan mereka susulan daripada tindakan sekutu kuat mereka, AS yang berpaling tadah untuk menyokong Palestin. 



Yayasan Islam harus bantu taja filem Palestin

12 Jun 2014


ISTANBUL, TURKI - Ada dua cadangan menarik yang dibuat pada penutup forum media Palestin iaitu pembangunan pelbagai media bertujuan memberi liputan lebih meluas perjuangan rakyat Palestin di seluruh dunia.

Forum ini juga menggesa diwujudkan saluran komunikasi yang turut mendokong hak rakyat Palestin dalam pelbagai bahasa.

Farheen Pasha Umar, penerbit eksekutif sebuah stesen televisyen bebas telah menggunakan pendekatan ini apabila menghasilkan filem dokumentari yang begitu menyayat hati bertajuk "Farah".

Filem ini menyingkap kehidupan seorang kanak-kanak perempuan Palestin yang melecur terbakar peringkat ketiga apabila sebutir bom meletup berhampiran rumahnya.

Kejadian itu berlaku pada 2009 apabila tentera Yahudi menyerang Gaza yang berikutnya disebut Perang Gaza.

Farah dihantar ke hospital di San Diego untuk menjalani beberapa pembedahan sebelum kembali ke kampung halamannya di Gaza.

Perang Gaza atau dikenali juga sebagai 'Operation Cast Lead' menyebabkan kira-kira 1,400 rakyat Palestin termasuk ibu Farah terkorban berbanding hanya 13 di pihak Israel.

Bagaimanapun, Farheen berkata semasa beliau mahu memulakan penggambaran filemnya, beliau kecewa kerana tidak dapat mencari pertubuhan atau yayasan Islam untuk memohon dana.

Menurut Farheen, beliau membuat carian atas talian tetapi gagal. 



Militan tawan bandar raya Mosul

12 Jun 2014


MOSUL, IRAQ - Kumpulan Militan Negara Iraq dan Jajahannya (ISIL) menawan bandar raya kedua terbesar, Mosul, kira-kira 350 kilometer di utara Baghdad selepas bertempur dengan polis dan tentera, malam kelmarin.

Pegawai Kementerian Dalam Negeri berkata, ISIL mengambil alih ibu pejabat Gabenor, penjara dan stesen televisyen.

“Bandaraya Mosul iaitu ibu negeri wilayah Nineveh kini ditawan sepenuhnya oleh puak militan. Bandar itu kini tidak lagi berada di bawah penguasaan pihak berkuasa,” katanya.

Situasi itu juga menyebabkan Perdana Menteri Iraq, Nouri Al-Maliki, mendesak Parlimen mengisytiharkan darurat bagi menghadapi keadaan tersebut.

“Pertempuran paling dahsyat ini memaksa anggota keselamatan berundur. Mereka juga menyerbu balai polis dan pangkalan tentera.

Helikopter di lapangan terbang Mosul turut dirampas, selain depoh simpanan senjata,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) melaporkan, situasi tegang itu menyebabkan 500,000 penduduk dan anggota tentera sekitar Niniwe, lari dalam tempoh 24 jam.

“Angka kematian belum dipastikan tetapi beberapa masjid telah digunakan sebagai klinik. Kami dimaklumkan, ISIL sedang bertempur dengan tentera berhampiran Baiji, iaitu kawasan terletaknya kilang penapis minyak terbesar Iraq,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Sementara itu menurut agensi, Jurucakap Jabatan Negara AS, Jen Psaki dan Setiausaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu (PBB) Ban Ki-moon menyifatkan, keadaan di Iraq amat serius dan sangat merbahaya.

Mosul antara bandar strategik yang menjadi pintu masuk utama bagi negara jiran, Syria. Pertempuran itu mencemarkan usaha Baghdad untuk menangani keganasan membabitkan militan Al-Qaeda.



Bashar al-Assad dipilih lagi

6 Jun 2014

DAMSYIK, SYRIA - Presiden Syria, Bashar al-Assad sekali lagi menang dalam pilihan raya presiden dalam penggal ketiga selepas mendapat 88.7 peratus undi, lapor BBC.

Keputusan itu diumumkan Speaker Parlimen, Mohammad al-Lahlam.

Sementara pencabarnya, Hassan al-Nouri dan Maher Hajjar masing-masing menerima 4.3 peratus dan 3.2 peratus.

Kemenangan Bashar itu walau bagaimanapun sudah dijangka sebelum ini.

Proses pengundian bertempat di kawasan kerajaan bukan di kawasan utara dan timur yang dipegang pemberontak.

Pilihan raya presiden itu tetap diteruskan walaupun perang saudara di negara berkenaan masih berlarutan sejak tiga tahun lalu dan telah membunuh lebih 150,000 orang.



Syria bebaskan puluhan tahanan

11 Jun 2014

DAMSYIK, SYRIA - Pihak berkuasa membebaskan puluhan tahanan, semalam selepas Presiden Syria, Bashar al-Assad mengeluarkan dekri memberi pengampunan bagi semua jenayah ketika negara itu dilanda krisis meruncing sejak 2011.

Peguam, Anwar al-Bunni berkata tribunal antikeganasan dan mahkamah jenayah telah mengeluarkan senarai nama tahanan yang akan dibebaskan di bawah pengampunan tersebut.

Kelmarin, Ahli Parlimen, Issam Khalil turut menyifatkan dekri tersebut sebagai 'hadiah' daripada presiden selepas pelantikan semula beliau.

"Keputusan tersebut membolehkan tahanan kembali semula kepada keluarga mereka dan 'menjalani kehidupan harian' seperti biasa," katanya, menurut laporan Press TV.



Gandingan Jokowi menang debat

11 Jun 2014


JAKARTA, INDONESIA - Gandingan mantap Joko Widodo (Jokowi)-Jusuf Kalla berjaya menewaskan regu Prabowo Subianto-Hatta Rajasa dalam debat yang disiarkan secara langsung, kelmarin.

Jokowi dilihat menggunakan kepakaran beliau dalam berpidato dengan memberikan jawapan ringkas tetapi padat dengan isi menekankan pencapaian beliau serta cadangan dasar baharu yang lebih bersifat realistik.

Selain itu, gandingan Jokowi, Jusuf turut menyentuh isu mengenai persoalan hak asasi manusia yang merupakan kelemahan utama Prabowo.

Sementara itu, Prabowo dan Hatta hanya memberi jawapan sama dan terlalu umum.

Sebagai contoh, Prabowo berulang kali menekankan dasar ekonomi nasional terutamanya berkaitan pengurusan sumber semula jadi di negara itu.

Hatta pula gagal memberi sebarang pencapaian konkrit beliau sepanjang berada 10 tahun di bawah pemerintahan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan Megawati Soekarnoputri.

Debat kali pertama itu menyaksikan Pengarah Pusat Pengajian Antirasuah Universiti Gadjah Mada (Pukat), Zainal Arifin Mochtar dipilih sebagai moderator yang bertindak mengutarakan beberapa soalan panas berhubung pelbagai isu termasuk demokrasi, keselamatan dan pendidikan, dipetik dari laporan Jakarta Post.



Penduduk Gaza tiada akses air bersih

10 Jun 2014

GENTING GAZA - Penduduk Palestin di Gaza dilaporkan tidak mempunyai akses air bersih susulan sekatan Israel di bandar itu.

Pengarah air, Ahmad Yacoubi berkata, air di bandar itu dicemari nitrat dan klorida tiga kali lebih tinggi berbanding paras normal.

"Pencemaran dicatatkan semakin tinggi hingga menyebabkan 90 peratus air di Gaza tercemar teruk," katanya kepada PIC.

Pengarah Penyulingan, Ahmad Robaie pula berkata, penyulingan air laut adalah penyelesaian menangani masalah itu namun ianya tercemar dan memberi kesan kepada penduduk," katanya.



Pengikut Ikhwanul dijatuhi hukuman mati

9 Jun 2014


KAHERAH, MESIR - Mahkamah Mesir kekal dengan keputusan menjatuhkan hukuman mati terhadap 10 pengikut Ikhwanul Muslimin berhubung kesalahan menghasut keganasan.

Menurut laporan Al- Monitor, kes terhadap mereka sebelum ini diadili oleh kumpulan hakim, namun tiada penyelesaian hingga mahkamah memutuskan ianya diambil alih oleh mufti besar negara itu.

Kesemua 48 defendan termasuk Mursyidul Am Ikhwanul, Dr Muhammad Badie dan pemimpin kanan Abdel Rahman al-Bar dituduh melakukan hasutan di wilayah Qalioubiya tahun lalu.

Mereka juga disabitkan kesalahan menyekat jalan raya dan menyerang pasukan keselamatan pada 22 Julai iaitu tiga minggu selepas penyingkiran presiden yang digulingkan Muhammad Mursi.

Mahkamah yang sama juga menetapkan 5 Julai ini sebagai tarikh akhir keputusan hukuman terbabit.

Sementara itu, bekas ketua tentera yang melakukan rampasan kuasa Abdel Fattah al-Sisi mengangkat sumpah sebagai presiden semalam.

Beliau mengangkat sumpah jawatannya di Mahkamah Perlembagaan dengan disaksikan beberapa pemimpin tertinggi negara termasuk Presiden Palestin, Mahmud Abbas.



Banjir di Afghan ragut 100 nyawa

8 Jun 2014


PUL-E-KHUMRI, AFGHANISTAN - Lebih 100 orang terkorban manakala ribuan yang lain cedera dalam kejadian hujan lebat dan banjir di daerah Gazargah-e-Noor, wilayah utara Baghlan, Afghanistan, kelmarin.

Gabenor daerah Noor Mohammad Gazar berkata, puluhan kediaman turut musnah akibat dihanyutkan arus deras dan jumlah kematian dijangka terus meningkat.

"Angin kuat, hujan lebat dan hujan batu telah menyebabkan lebih 100 orang terbunuh dan mencederakan ramai penduduk hanya dalam tempoh sejam," katanya dipetik AP.

Menurutnya, kesemua laluan menuju ke Gazargah-e-Noor rosak teruk dan penduduk kini amat memerlukan bantuan segera.



Belia Mesir protes pentadbiran Al-Sisi

8 Jun 2014


KAHERAH, MESIR - Selepas kenyataan sulung Presiden Mesir yang digulingkan Mohammed Mursi tersebar di media, ratusan belia di negara itu bangkit mengadakan protes menentang pentadbiran pimpinan presiden baharu, Abdel Fattah Al-Sisi.

Kelmarin, seramai 10 individu ditahan selepas pertempuran tercetus ketika protes di Iskandariah.

Menurut sumber Al Ahram, Pertempuran antara polis dan ratusan penunjuk perasaan proMursi itu turut berlaku di beberapa daerah termasuk di asrama Universiti Al-Azhar hingga memaksa anggota keselamatan melepaskan gas pemedih mata.

Khamis lalu, Mursi melalui kenyataan dalam laman Facebooknya menggesa belia supaya menentang rampasan kuasa dan pentadbiran Al-Sisi bagi memberi demokrasi dan keadilan buat seluruh rakyat di negara itu.



Sepuluh penyokong IM dihukum mati

7 Jun 2014



KAHERAH, MESIR - Mahkamah Mesir menjatuhkan hukuman mati kepada 10 penyokong Ikhwanul Muslimin (IM) secara 'in absentia' (tanpa kehadiran), hari ini, menurut sumber perundangan, lapor Al-Arabiya.

Namun menurutnya, hukuman ke atas pemimpin IM dan pemimpin kanan lain ditangguhkan pada perbicaraan kes yang sama.

Hukuman itu disabitkan atas tuduhan termasuk menghasut keganasan dan menyekat jalan utama di utara Kaherah semasa protes selepas tentera mengguling Presiden Mohamed Mursi, Julai tahun lalu.

Salah seorang yang dihukum ialah ahli Majlis Bimbingan IM, Abdul Rahman al-Barr.

Hakim, Hassan Fareed berkata keputusan untuk defendan yang selebihnya akan diumumkan dalam satu perbicaraan pada 5 Julai depan.

38 defendan termasuk Mursyidul Am Ikhwan Muslimin, Dr Mohammed Badie dan ahli kanan IM, Mohamed El-Beltagy serta bekas menteri sewaktu pemerintan Presiden Mohamed Mursi.

Badie adalah antara 683 yang dijatuhkan hukuman mati April lalu.

Ratusan penyokong IM dan ahli pasukan keselamatan telah dibunuh sejak penggulingan Mursi.



Tahanan Palestin makin parah

6 Jun 2014

RAMALLAH, PALESTIN - Keadaan kesihatan tahanan Palestin yang melancarkan mogok lapar sejak 24 April lalu di penjara Israel dilaporkan semakin buruk.

Menteri Hal Ehwal Banduan Palestin, Essa Qaraqie memaklumkan, kira-kira 120 tahanan menyertai mogok lapar sebagai protes terhadap penahanan pentadbiran dikenakan rejim Zionis.

"Sebahagian daripada mereka terpaksa dimasukkan ke hospital. Pihak berkuasa Israel masih tidak mengendahkan tuntutan tahanan Palestin tersebut walaupun kesihatan mereka semakin terancam," katanya dipetik Press TV

Menurutnya lagi, susulan daripada insiden itu, kerajaan Palestin telah menghantar surat kepada Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) dan Majlis Hak Asasi Manusia Antarabangsa bagi menuntut mereka campur tangan dalam isu tersebut.

Difahamkan, hampir 200 daripada 5,000 tahanan Palestin kini ditahan di bawah penahanan pentadbiran Israel tanpa melalui perbicaraan adil.



Respons Mursi terhadap Al-Sisi

6 Jun 2014

KAHERAH, MESIR - ‘Bantah dan tentang rampasan kuasa’, itu respons pertama Presiden Mesir yang digulingkan, Mohammed Mursi selepas bekas ketua tentera Abdel Fattah Al-Sisi disahkan sebagai Presiden baharu.

Kenyataan itu disiarkan menerusi laman rasmi Facebook Mursi kelmarin.

Dalam kenyataan itu, beliau mengarahkan belia Mesir untuk terus melakukan revolusi yang sebelum ini pernah dilakukan pada 25 Januari 2011.

“Revolusi tidak akan lenyap selagi ia wujud melalui usaha belia di negara ini. Saya mengaku telah membuat kesilapan, tetapi saya memberi jaminan bahawa saya tidak pernah mengkhianati negara saya,” katanya dipetik Al Arabiya

Menurut kenyataan itu lagi, masa depan Mesir terletak pada belia negara itu dan merekalah yang digelar wira.

Pada akhir mesej itu, beliau menandatangani nama penuhnya dan nama ‘Republik Presiden Mesir’.

Mursi kini berada di dalam tahanan bersama pengikutnya dari gerakan Ikhwanul Muslimin atas tuduhan pengintipan untuk menghasut pembunuhan.



Israel bina 1,500 rumah haram

6 Jun 2014


BAITULMAQDIS, PALESTIN - Rancangan Israel membina 1,500 penempatan haram sebagai tindak balas terhadap pembentukan kerajaan perpaduan Palestin mencetuskan kemarahan banyak pihak termasuk Washington yang mahu mengenakan tindakan serius terhadap pemimpin itu.

Menteri Perumahan Uri Ariel mengumumkan perkara itu 48 jam selepas majlis angkat sumpah kerajaan perpaduan dilaksanakan di Tebing Barat.

“Sebanyak 400 unit akan dibina di Baitulmuqaddis dan 1,109 unit lain dibina di Tebing Barat. Kamu tidak hiraukan ancaman atau kritikan Kesatuan Eropah atau Amerika Syarikat yang mula berpaling tadah,” katanya dipetik Al Jazeera

Menurutnya, tender pembinaan ini adalah respons Zionis terhadap kerajaan baharu Palestin.

Sementara itu, Ketua Perunding Palestin Saeb Erekat berkata, pengumuman itu jelas menyaksikan Israel mula bimbang dengan barisan Kabinet baharu yang menyaksikan kesepakatan antara Fatah dan Hamas.

Pembentukan kerajaan baharu itu juga memaksa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk mendesak kuasa besar dunia supaya menolak kerajaan perpaduan Palestin dengan melabelkan kerajaan terbabit sebagai ‘kerajaan pengganas.


Sekian sahaja untuk kali ini.  Wallahualam.


"..dan bertawakkallah kepada Allah yang hidup (kekal) yang tidak mati, dan bertasbihlah dengan memuji-Nya. dan cukuplah Dia Maha mengetahui dosa-dosa hamba-hamba-Nya.."
(Al-Furqan: 58)



Post a Comment