MOSCOW | MEDICAL SYMPOSIUM 2014

0 comments
Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum wrt

Alhamdulillah,alhamdulillah alhamdulillah bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan rahmat dan kurniaNya program Medical Symposium 2014 berjaya diadakan bertempat di Kedutaan Besar Malaysia,Moscow. Program ini dianjurkan oleh Persatuan Perubatan Islam Malaysia (PPIM) dengan kolaberasi bersama Azam Russia dan MARA.

Program yang berlangsung selama dua hari ini adalah bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar mengenai sistem perubatan di Russia dan juga sistem di Malaysia serta sedikit perkongsian menarik daripada doktor-doktor yang diterbangkan khas daripada Malaysia. 

Antara doktor yang hadir bagi memeriahkan program ini ialah Prof. Dr. Abdul Latiff Mohamed  iaitu Dekan Fakulti perubatan di CUCMS, Dr. Mohd Hazreen bin Abdul Rashid ( Pegawai Perubatan Jabatan Psikiatri Hospital Sultanah Aminah), Dr. Siti Illiana binti Mohamad ( Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Mahmoodiah,Johor bharu), Dr. Mawaddah binti Abdul Malik ( Pegawai Perubatan Jabatan Kesihatan Negeri johor,Bahagian Penyakit bukan Berjangkit) dan juga Dr. Mohd Hilmi Afandi ( Pegawai Perubatan Hospital Sultan Ismail,Johor Bharu ).

Program ini mempunyai 7 slot iaitu : The Doctor or Just Another Doctor,Untwisting the Tale of Housemanship, What the Future Looks Like for Us, Russian vs Malaysian: Benefitting from Both System, Clerking and Presenting for Dummies, Current Health Controversies dan slot terakhir ialah perkongsian kehidupan sebagai seorang doktor graduan daripada Russia serta sesi soal jawab. 

Program yang bermula pada pukul 2  ini dimulakan dengan slot pertama daripada Prof. Dr Latiff Mohamed. Dalam slot ini beliau memberi sedikit perkongsian mengenai kehidupan sebagai housemanship. Antara nasihat beliau ialah berazamlah untuk menghabiskan housemanship di hospital yang kita mampu untuk bertahan dan bukanlah mencari hospital yang sibuk hingga akhirnya kita jua yang kecundang. 

Seterusnya slot ke 2 disampaikan oleh Dr. Hazreen. Dalam slot ini beliau memberi pendedahan tentang sistem hospital di malaysia yang terdiri daripada 2 sistem iaitu yang menggunakan sistem berkomputer di mana semua data disimpan di dalam komputer dan juga sistem tidak berkomputer. Walaupun terdapat perbezaan sistem di sesetengah hospital, namun masing-masing ada kelebihannya tersendiri. Antara kata-kata semangat daripada beliau ialah dalam kehidupan ini jika kita berhenti melakukan sesuatu,kita yang akan rugi kerana orang lain tidak pernah fikirkan tentang diri kita. Jadi,teruslah melangkah jangan pernah berhenti kerana kejayaan itu memerlukan usaha daripada setiap individu. 

Slot ke 3 pula disampaikan oleh Dr. Mawaddah yang memberi pendedahan tentang keperibadian seorang doktor. Seorang doktor itu perlulah mempunyai perilaku yang baik, kemahiran yang tinggi dan juga luas ilmu pengetahuan. Beliau juga berkongsi mengenai hadis rasulullah s.a.w iaitu :

(.. Dan sebaik baik manusia ialah orang yang bermanfaat bagi manusia lain :HR Tabrani dan Daruquthni )

Maka, jadilah doktor yang bermanfaat untuk ummah, bukan sahaja yang mampu merawat penyakit,namun dapat merawat hati yang rosak.

Bagi slot 4 telah disampaikan oleh Dr Illiana. Slot ini memberi pendedahan tentang kelebihan sistem di Russia dan juga sistem di Malaysia. Walaupun terdapat perbezaan antara kedua sistem ini,namun ia bukan alasan untuk kita berputus asa, ambillah perbezaan ini sebagai cabaran dan carilah penyelesaian untuk menguasai kedua-dua sistem ini. 

Slot seterusnya, Dr. helmi berkongsi serba sedikit mengenai demam denggi iaitu antara salah satu penyakit yang berleluasa di Malaysia kini. Slot terakhir ialah slot perkongsian dan juga sesi soal jawab.

Program ini diakhiri dengan sesi penyampaian cenderahati kepada para penceramah jemputan. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada para tetamu jemputan kerana sanggup meluangkan masa bersama bagi berkongsi ilmu kepada pelajar di Russia. Moga-moga perkongsian ini dapat memberi semangat kepada para pelajar untuk terus melangkah jauh dan membaiki persepsi masyarakat mengenai pelajar perubatan Russia. Sesungguhnya tiada yang mustahil dalam hidup ini,maka berusahalah untuk melakar kejayaan. 

Akhir kata, semoga usaha yang dilakukan ini diredhai Allah dan semoga semangat ini berterusan dan mampu untuk mengubah setiap pelajar menjadi lebih baik. Sesungguhnya dunia ini amat memerlukan doktor untuk merawat ummah, maka bangkitlah bakal-bakal doktor kerana kini ramai pesakit yang sedang tenat yang memerlukan rawatan daripada anda semua. 

Wallahualam
















Post a Comment