FRIDAY WRAP (25 APRIL 2014 - 2 MEI 2014)

0 comments
Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum wbt.

Insyaallah minggu ini Azam Russia membawakan berita-berita menarik dari dalam dan luar Negara. Semoga bermanfaat untuk semua.


Israel mula rasa tergugat
25 April 2014/ Jumaat

TEL AVIV - Israel mula rasa tergugat selepas gerakan Hamas dan Fatah mencapai persetujuan menubuhkan kerajaan perpaduan dalam tempoh lima minggu lagi.

Susulan daripada perkembangan positif itu, Tel Aviv bertindak membatalkan mesyuarat bersama Palestin.

Jurucakap Perdana Menteri Benjamin Netanyahu memberitahu keputusan terbaharu itu kononnya memberi kesan kepada proses rundingan damai yang sedang berlangsung ketika ini.

Bagaimanapun, Ketua Perunding PA, Saeb Erakat memaklumkan tiada sebarang tarikh ditetapkan berhubung mesyuarat susulan berkaitan proses damai terbabit seperti yang didakwa Israel.

"Kami hanya terlibat dengan pertemuan bersama wakil Amerika Syarikat, Martin Indyk di Ramallah," jelasnya yang dipetik Press TV


180 tahanan Palestin mogok lapar
26 April 2014/ Sabtu


RAMALLAH, PALESTIN - Kira-kira 180 tahanan Palestin di beberapa penjara Israel melancarkan mogok lapar secara serentak sebagai protes kerana dipenjarakan tanpa melalui proses perbicaraan yang adil.

Timbalan Hal Ehwal Banduan Palestin, Ziad Abu Ain berkata, kesemua tahanan tersebut nekad untuk meneruskan tindakan itu sehingga mereka dibebaskan.

Sementara itu menurut laporan Press TV, peguam Samer Smaan memaklumkan seramai 55 tahanan di penjara Ofer telah diasingkan selepas mereka memulakan mogok lapar.

Februari lalu, Kementerian Banduan Palestin melaporkan hasil keputusan bancian mereka menunjukkan lebih 4,800 tahanan Palestin kini dipenjarakan di 17 pusat tahanan di Tel Aviv.


PM Korea Selatan letak jawatan insiden feri karam
27 April 2014/ Ahad

SEOUL - Perdana Menteri Korea Selatan, Chung Hong-won hari ini meletak jawatan atas kelemahan kerajaan di bawah pentadbiran beliau untuk menangani insiden feri karam pada 16 April lalu yang mengorbankan 187 nyawa.

Dalam pengumumannya di sini, Hong-won mendedahkan tentang niatnya yang mahu meletak jawatan lebih awal, tetapi beliau memberi keutamaan mengendalikan krisis itu.

"Saya berasa lebih bertanggungjawab menghulurkan bantuan sebelum melepaskan jawatan.

"Kini saya meletak jawatan supaya tidak lagi membebankan pentadbiran kerajaan," katanya. – AFP


11 pro Mursi dipenjara 88 tahun
28 April 2014/ Isnin


KAHERAH, MESIR - Mahkamah Mesir menjatuhkan hukuman penjara 88 tahun terhadap 11 penyokong presiden yang digulingkan Mohammed Mursi kerana bersalah memprotes undang-undang dan menyerang polis.

Lima daripada mereka dijatuhi hukuman oleh sebuah mahkamah di bandar selatan Minya dan selebihnya oleh mahkamah di Kaherah.

Kesemua mereka bersalah melakukan demonstrasi dan menyerang anggota polis di bandar Samallout pada Julai tahun lalu.

Dalam perkembangan berasingan, ratusan rakyat negara itu melakukan demonstrasi membantah perlaksanaan undang-undang anti-bantahan yang diperkenalkan sebulan sebelum pilihan raya presiden yang di jadualkan 26 dan 27 Mei ini.

Demonstrasi dilakukan bertujuan untuk membantah pencalonan bekas ketua tentera Abdel Fattah Al-Sisi untuk bertanding kerusi Presiden menurut laporan Al Arabiya.


Nekad boikot
29 April 2014/ Selasa


KAHERAH, MESIR- Parti perikatan Islam di Mesir nekad untuk memboikot pilihan raya presiden pada 26 dan 27 Mei depan.

Kelmarin, Perikatan Kebangsaan pro-Legitimasi yang dipimpin gerakan Ikhwanul Muslimin turut menyifatkan proses pemilihan itu sebagai satu sandiwara bertujuan untuk melantik presiden yang merancang rampasan kuasa pada Julai lalu.

"Pemimpin rampasan kuasa telah melakukan perbuatan jenayah sama seperti yang dilakukan rejim Zionis terhadap Palestin," kata jurucakap perikatan tersebut.

Sabtu lalu, penyokong kumpulan terbabit bertindak mengadakan protes sebagai membantah pencalonan bekas Ketua Tentera, Abdel Fattah al-Sisi dalam pilihan raya presiden.

Al-Sisi bakal berhadapan tentangan ahli politik berhaluan kiri, Hamdeen Sabahi yang pernah ditewaskan bekas Presiden digulingkan, Mohammed Mursi ketika pilihan raya lalu.

Pemimpin dalam rampasan kuasa tersebut juga telah menggantung Perlembagaan dan membubarkan Parlimen selepas insiden penggulingan Mursi yang dilihat sebagai persediaan awal untuk beliau bertanding bagi merebut jawatan presiden.

Minggu lalu, ribuan penduduk Mesir berhimpun di beberapa bandar sambil melaungkan slogan mengutuk pencalonan Al-Sisi yang didakwa mendapat sokongan majoriti rakyat untuk menerajui negara itu, dipetik dari laporan Press TV.


PBB enggan bantu Syria tanpa kebenaran kerajaan
30 April 2014/ Rabu


NEW YORK - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam menolak gesaan untuk memberi bantuan kemanusiaan merentasi sempadan negara Syria tanpa mendapatkan kebenaran daripada kerajaannya di Damsyik.

PBB berkata, operasi bantuan itu hanya boleh dilaksanakan dengan satu resolusi yang lebih kukuh di bawah Majlis Keselamatan.

Ini berikutan desakan berpuluh-puluh peguam dari seluruh dunia menerusi satu surat kepada PBB yang menyatakan, tidak ada undang-undang yang menghalang pertubuhan antarabangsa menyampaikan bantuan merentasi sempadan negara atau memberi bantuan kepada pertubuhan lain untuk tujuan sama.

Lebih 150,000 penduduk Syria terbunuh dalam krisis perang saudara negara tersebut dalam tempoh tiga tahun, manakala kira-kira 2.5 juta rakyat menjadi pelarian dan sembilan juta lagi terperangkap dalam negara itu tanpa bantuan.


Brunei laksana Hudud
30 April 2014/ Rabu



BANDAR SERI BEGAWAN, BRUNEI - Sultan Brunei mengumumkan undang-undang dikenali sebagai Kod Penal Syariah yang mendapat kritikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dikuatkuasakan secara berperingkat mulai esok, lapor AFP.

“Hari ini saya bersyukur kepada ALLAH SWT untuk mengumumkan bahawa esok, Khamis, 1 Mei 2014, akan menyaksikan penguatkuasaan undang-undang syariah fasa satu, yang perlu diikuti oleh fasa-fasa lain,” titah Sultan Hassanal Bolkiah dalam ucapannya, hari ini.

Penguatkuasaan hukuman hudud itu termasuk melaksanakan hukuman potong tangan ke atas pencuri dan rejam terhadap kesalahan zina.

Awal tahun ini, pengumuman Sultan Brunei itu mendapat sokongan penuh daripada penduduk Islam tetapi mencetuskan kebimbangan di kalangan rakyat bukan beragama Islam.

Hampir 70 peratus daripada 400,000 rakyat negara itu adalah penduduk Islam manakala kira-kira 15 peratus adalah bukan Islam.

Sungguhpun mendapat kritikan daripada Pertubuhan Hak Asasi Manusia PBB, Sultan Brunei dengan tegas memberi amaran bahawa penekanan lebih kuat akan dilaksanakan jika undang-undang itu cuba dirosakkan oleh pengaruh asing.


Tentera Israel roboh masjid di Tebing Barat
30 April 2014/ Rabu


BAITULMAQDIS - Sebuah masjid yang terletak di kampung Khirbet al-Tawil di sini, merupakan antara bangunan yang dirobohkan oleh tentera Israel kerana didakwa dibina tanpa permit, semalam.

Pencerobohan masjid itu berlaku sehari selepas Mahkamah Agung Israel memberikan tempoh 90 hari untuk mencadangkan ‘kaedah memudahkan penyertaan penduduk tempatan Palestin dalam proses perancangan’ di Kawasan C, lokasi 60 peratus daripada kawasan Tebing Barat berada di bawah kawalan Israel.

“Beberapa orang tentera datang lalu merobohkan masjid dan tiga buah rumah yang didakwa dibina tanpa permit di Kawasan C," kata Datuk Bandar Khirbet al- Tawil, Ayman Bani Fadel kepada AFP.


Mesir teruskan hukuman gantung
1 Mei 2014/ Khamis


KAHERAH, MESIR - Kementerian Kehakiman kelmarin mempertahankan keputusan mereka, sekali gus menolak reaksi masyarakat negara antarabangsa berhubung keputusan menjatuhkan hukuman mati ke atas 683 penyokong Ikhwanul Muslimin (IM) termasuk Mursyidul Am, Mohamed Badie.

Mereka turut menganggap bantahan besar-besaran dilakukan orang awam yang kononnya sebagai tindakan tidak boleh diterima.

Dalam satu kenyataan, peguam mendakwa, Hakim Saeed Youssef terlalu tergesa-gesa kerana hanya mengambil masa kurang daripada lima minit untuk membuat keputusan itu.

Sebelum ini, beliau pernah dikritik kumpulan hak asasi manusia kerana enggan mendengar sebarang hujah pembelaan ketika prosiding perbicaraan yang menyaksikan 529 penyokong IM dijatuhi hukuman mati.

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan keputusan itu sebagai keterlaluan manakala Washington mendakwa ia sebagai hukuman yang melanggar piawaian asas dalam sistem keadilan antarabangsa.

Di bawah undang-undang Mesir, hukuman mati hanya boleh diputuskan selepas mendapat nasihat daripada Mufti Besar Al-Azhar.


Brunei haram 19 perkataan untuk bukan Islam
1 Mei 2014/ Khamis


BANDAR SERI BEGAWAN, BRUNEI - Kerajaan Brunei mengharamkan penggunaan 19 perkataan, termasuk ALLAH dan masjid, oleh orang bukan Islam di negara itu.

Brunei Times melaporkan, pengharaman itu berkuat kuasa bulan ini di bawah Kod Penal Syariah.

Lain-lain perkataan diharamkan adalah azan, baitullah, al-Quran, fatwa, firman ALLAH, hadis, haji, hukum syarak, Ilahi, kaabah, kalimah syahadat, kiblat, imam, mufti, mukmin, solat dan wali.

Pegawai Undang-Undang Syariah Kanan Unit Undang-Undang Islam Hardifadhillah Mohd Salleh berkata, Kod Penal Syariah juga diguna pakai kepada bukan Islam, termasuk kesalahan berzina dengan pasangan Islam, minum arak di tempat awam dan khalwat dengan pasangan Islam.

“Jika sabit kesalahan, hukuman adalah denda sehingga B$4,000 (RM10,400) dan/atau satu tahun penjara. Bagi pesalah zina yang dilakukan oleh seorang Muslim yang sudah berkahwin dan yang sudah berkahwin tetapi bukan Islam, kedua-dua mereka boleh dikenakan hukuman rejam sampai mati jika kesalahan itu dibuktikan oleh pengakuan atau kesaksian empat saksi,” katanya.

Menurutnya, mana-mana pihak yang menghasut lelaki atau wanita Islam bercerai atau tidak menjalankan kewajipan terhadap pasangan masing-masing, boleh dikenakan denda sehingga B$4,000 (RM10,400) dan/atau penjara setahun.

“Mana-mana ibu atau bapa beragama Islam yang ikhlas menyerahkan anak mereka dipelihara oleh orang bukan Islam, boleh dikenakan denda sehingga B$20,000 (RM52,000) dan atau penjara lima tahun,” katanya.


Antibodi Mers ditemui
1 Mei 2014/ Khamis


WASHINGTON, AMERIKA SYARIKAT - Saintis menemui antibodi semula jadi dalam tubuh manusia didakwa mampu merawat virus Sindrom Pernafasan Timur Tengah (Mers).

Kajian dilakukan penyelidik Amerika Syarikat (AS), China dan Hong Kong mendapati, beberapa antibodi mampu mencegah virus itu daripada menjangkiti manusia.

Menurut mereka, antibodi itu adalah protein dalam sistem imun manusia berfungsi sebagai pelindung kepada bakteria dan virus asing.

Hasil penyelidikan saintis China pula mendapati, antibodi Mers-4 dan Mers-27 mampu menghalang sel dalam piring makmal dari dijangkiti.

Sementara itu, kajian saintis AS menunjukkan, tujuh antibodi manusia boleh menjadi vaksin virus tersebut.

Dalam perkembangan lain, tiga lagi maut akibat Mers dilaporkan Kementerian Kesihatan Saudi, sekali gus menjadikan angka korban 105 orang. - Al-Arabiya


Penyakit ‘kebal’ ubat ancam dunia
2 Mei 2014/ Jumaat

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa antibiotik semakin hilang keupayaan untuk melawan jangkitan penyakit. Keadaan ini yang mungkin menyebabkan masalah kebal ubat yang lebih serius dalam tempoh terdekat. 

“Masalahnya begitu serius hinggakan ia mengancam pencapaian dalam perubatan moden," kata WHO dalam satu laporan yang diterbitkan Rabu lalu. 

Menurut laporan itu, jika perkembangan sekarang berterusan, jangkitan kecil yang dirawat kini mungkin tidak boleh diubati dan menyebabkan kematian. 


Tunjuk perasaan, rusuhan sambut Hari Pekerja
2 Mei 2014/ Jumaat

ISTANBUL - Puluhan ribu pekerja di seluruh dunia mengadakan tunjuk perasaan semalam ketika sambutan Hari Buruh Antarabangsa, dengan suasana tegang di Turki yang mencetus kekecohan ketika protes diadakan di seluruh negara.

Keadaan tegang berlaku di Istanbul, apabila beribu-ribu penunjuk perasaan yang ingkar perintah berhimpun di Dataran Taksim dengan sebilangan besar anggota polis bertugas di jalan raya selepas tunjuk perasaan mencetuskan keganasan yang membawa kepada gerakan anti kerajaan secara besar-besaran sebelum ini. 

Tunjuk perasaan juga dilaporkan di beberapa negara Asia, termasuk Hong Kong, Jakarta, Kuala Lumpur, Singapura, Taipei dan Seoul. 

Sementara itu pekerja Russia akan berhimpun di Dataran Merah untuk pertama kali sejak 1991 tempat tradisi lama Soviet yang mahu dihidupkan semula ketika semangat patriotisme melanda negara itu.

Hari Pekerja adalah hari penting dalam kalendar Russia dengan sambutan besar-besaran membabitkan atlet, tentera dan pekerja yang berarak di dataran Moscow, tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini demonstrasi tahunan itu diadakan di jalan-jalan raya.

Di Kemboja, pihak berkuasa tentera menggunakan belantan menyuraikan berpuluh-puluh orang yang mengadakan tunjuk perasaan Hari Pekerja berhampiran Taman Kebebasan Phnom Penh.

Polis Indonesia pula berkata kira-kira 33,000 pekerja mengadakan perhimpunan di Jakarta. Pihak kesatuan sekerja berkata seramai dua jutapekerja menuntut keadaan kerja yang lebih baik di negara paling penduduk di Asia Tenggara itu, walaupun pada tahun-tahun lalu bilangan yang keluar adalah lebih kecil daripada jumlah awal yang dijangkakan.


Reaksi hudud di Brunei
2 Mei 2014/ Jumaat

BANDAR SERI BEGAWAN, BRUNEI - Kod Panel Syariah diperkenalkan di Brunei tidak menggalakkan penindasan atau kekejaman.

Kenyataan itu disampaikan mufti negara itu, Awang Abdul Aziz selepas ia diumumkan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah semalam.

“Memotong tangan, rejam atau sebat tidak dilakukan sebarangan. Ada syarat yang adil sebelum dilaksanakan,” katanya kepada The Brunei Times.

Pelaksanaan hukuman itu turut diterima seorang paderi Kristian yang berharap, undang-undang itu tidak dilaksanakan terlalu ketat seperti dalam undang-undang bertulis.

Sementara itu, Peguam Negara, Hayati Pehin Mohd Salleh mengingatkan rakyat supaya tidak memberi tumpuan kepada hukuman kerana itu bukan matlamat hukuman syariah.

“Ia penting kepada masyarakat untuk memahami perbezaan antara keterangan saksi, qisas dan tiada percanggahan fakta,” katanya.

Beliau berkata, kod itu mengambil kira hak-hak mangsa atau warisan mangsa termasuk ahli keluarga.

“Hukuman untuk membunuh adalah hukuman mati, sebelum ia dilaksanakan waris mangsa boleh memaafkan (qisas) atau meminta pampasan (diyat) dan mahkamah atau kerajaan tidak boleh mencampuri urusan ini. Bagi hukuman sebatan, ia sama seperti dilakukan oleh mahkamah sivil,” katanya.

Pelaksanaan hudud sebelum ini mendapat kritikan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Antarabangsa apabila menyifatkan hukuman itu sebagai satu bentuk penyeksaan.


Sekian sahaja Friday Wrap pada minggu ini. Semoga kita sentiasa cakna akan isu ummah dan sentiasa menjadi golongan yang mencari mardhatillah. Insyaallah.


“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan memberikan kami furqan (yang membezakan antara yang benar dengan yang batil) dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar”

Surah Al-Anfal (8:29)


Post a Comment