FRIDAY WRAP (17 MEI 2014 - 23 MEI 2014)

0 comments
Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.

Friday Wrap kembali lagi pada minggu ini membawakan berita-berita terkini dari seluruh pelusuk dunia.


Panda Simbolik Hubungan Erat
22/5/2014


KUALA LUMPUR - Ketibaan pasangan dua Panda Gergasi yang dipinjamkan China, selama 10 tahun kepada Malaysia mulai semalam, adalah kesinambungan tradisi diplomasi kuasa besar itu, dalam hubungan diplomatik antarabangsa yang wujud sejak Dinasti Tang. 

Pasangan panda gergasi, Fengyi dan Fuwa, yang dipinjamkan menerusi Program Perjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi itu, menjadi simbol hubungan diplomatik selama 40 tahun Malaysia-China, yang terjalin secara rasmi sejak 31 Mei 1974. 

Malaysia adalah antara 14 negara di dunia, diberi penghormatan China, untuk menyertai program itu yang membabitkan agihan 47 panda di seluruh dunia. Susulan perjanjian mengenainya ditandatangani pada 2012, Malaysia berpeluang menjalankan penyelidikan konservasi panda gergasi, selain dapat membangun dan melatih kepakaran tempatan. 

Pasangan panda gergasi yang diberikan sijil Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) itu tiba melalui Kompleks MASKargo di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) jam pukul 7.53 pagi semalam, dengan pesawat khas MASKargo Airbus 330-200 (MH6462) dari Chengdu, China.


Lelaki Britain berperang di Syria dihukum
21/5/2014

LONDON - Seorang lelaki yang pergi ke Syria untuk menyertai kumpulan penentang menjadi orang pertama di Britain didapati bersalah melakukan keganasan berkaitan konflik di negara itu.

Mashudur Choudhury, 31, pergi ke Syria bersama-sama empat orang lain pada Oktober lalu, namun dia ditangkap apabila dia pulang berseorangan pada akhir bulan itu.

Mahkamah Crown Kingston, di sini semalam mendapati dia bersalah atas dakwaan terlibat dalam persediaan aktiviti keganasan selepas perbicaraan selama 12 hari dan keputusan hukumannya akan diumumkan pada bulan depan.

Keputusan bersalah itu diumumkan ketika polis meneruskan tindakan tegas ke atas penduduk Britain yang pergi ke Syria untuk berperang ekoran tindakan mereka itu memberi ancaman keselamatan kepada negara ini. - REUTERS


Rakyat Palestin memperingati 66 tahun Nakba
20/5/2014


GAZA - Rakyat Palestin, bermula hari ini 15 Mei 2004 untuk memperingati Nakba dengan mengadakan pelbagai acara di dalam dan di luar Palestin. 66 tahun telah berlalu semenjak kumpulan zionis yang didalangi kuasa barat melakukan jenayah pembersihan etnik terbesar dalam sejarah moden. Sejak 1948, ratusan ribu rakyat Palestin telah terdedah kepada tindakan terancang yang menyebabkan pengusiran, keganasan, pembunuhan beramai-ramai dan pembersihan etnik.



Hosni Mubarak dihukum penjara tiga tahun 
22/5/2014


KAHERAH - Bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak dihukum penjara tiga tahun oleh hakim sebuah mahkamah Mesir di sini semalam atas kesalahan mencuri wang dari dana awam.

"Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun terhadap Mohamed Hosni Mubarak," kata Hakim Osama Shaheen ketika membacakan keputusan itu.

Hosni berada di dalam kandang tertuduh bersama dua anaknya, Gamal dan Alaa yang turut dijatuhkan hukuman penjara empat tahun atas kesalahan yang sama.

Mahkamah turut menjatuhkan hukuman denda sebanyak AS$17.5 juta (RM56 juta) ke atas Hosni dan dua anaknya selain memerintah mereka untuk membayar semula kira-kira AS$17.53 juta (RM56.34 juta) dana milik orang awam yang dicuri.

Hosni ditahan di sebuah hospital tentera sejak Ogos tahun lalu ketika dia menunggu perbicaraan semula kesalahan bersubahat dalam satu siri pembunuhan beramai-ramai pada tahun 2011.

Dia meletakkan jawatan pada Februari 2011 ekoran kebangkitan penduduk yang menentang pemerintahannya yang didakwa korup selepas memerintah selama sejak 14 Oktober 1981. - Agensi


Jepun alih air tercemar ke laut
22/5/2014


TOKYO - Pengendali loji nuklear Fukushima yang sebelum ini lumpuh semalam berkata, ia sudah memulakan sistem pintasan yang mengalihkan air bawah tanah ke dalam laut dalam usaha untuk mengurangkan jumlah air yang tercemar. 

Langkah itu adalah cubaan untuk menghentikan air bawah tanah yang tidak tercemar mengalir di bawah kilang itu dan bercampur dengan air yang sudah sedia dicampur dengan isotop radioaktif. 


Russia berminat kongsi kepakaran aeroangkasa
24/4/2014

KUALA LUMPUR - Russia berminat untuk berkongsi kepakarannya dengan Malaysia dalam industri aeroangkasa memandangkan pengalaman luas negara itu dalam bidang itu. 

Duta Rusia ke Malaysia Lyudmila G Vorobyeva, berkata negara itu akan menimbang sebarang kerjasama dalam bidang itu jika Malaysia berminat. 

"Kami telah menjalin kerjasama dalam bidang itu (industri aeroangkasa) dengan beberapa projek sedang dipertimbang oleh komuniti perniagaan masing-masing," kata Vorobyeva kepada media pada sidang media tahunan di Kedutaan Persekutuan Rusia di Kuala Lumpur, semalam. Ia sempena Hari Kebangsaan Russia pada 12 Jun ini. 

"Negara kami memiliki pengalaman luas dalam industri aeroangkasa dan hari ini semua angkasawan yang dihantar ke Stesen Angkasa Antarabangsa dihantar oleh kenderaan Russia (kaedah pengangkutan yang disediakan oleh Russia)," katanya. 

Mengenai pelancongan, Vorobyeva berkata, penerbangan terus antara Malaysia dan Russia serta sebaliknya akan meningkatkan kedatangan pelancong dan perniagaan bagi kedua-dua negara. 

"AirAsia sedang menimbang menyediakan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Moscow. Harapnya ini akan membuahkan hasil," katanya. 

Semasa musim cuti Russia, syarikat penerbangan negara itu, Transaero Airlines, mengadakan penerbangan terus antara Moscow dan Kuala Lumpur dari November 2013 hingga Februari tahun ini. – BERNAMA


Mesyuarat krisis Thailand buntu
23/5/2014

BANGKOK - Mesyuarat krisis antara pemimpin parti-parti politik yang bertelagah bagi menamatkan konflik yang sudah berpanjangan semalam, berakhir tanpa mencapai apa-apa keputusan, dan pihak tentera akan memanggil satu lagi mesyuarat hari ini. 

“Ketua angkatan tentera meminta kita pulang dan memikirkan apa yang sudah dibincangkan untuk mencari penyelesaian demi negara," kata setiausaha agung Suruhanjaya Pilihan Raya, Puchong Nutrawong, memberitahu Reuters, sambil menambah kumpulan itu akan mengadakan mesyuarat jam 2 petang waktu tempatan, hari ini. 

Mesyuarat diadakan sehari selepas ketua angkatan tentera Jeneral Prayuth Chan-ocha mengisytiharkan undang-undang tentera untuk menamatkan krisis yang sudah berpanjangan sedekad yang dibimbangi boleh membawa kepada perang saudara.


Sekian sahaja untuk kali ini.  Semoga bermanfaat!

"..dan bertawakkallah kepada (Allah) yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang.."
(Asy-Syuara 26: 217)

#manjaddawajadda


Post a Comment