Tawakal Itu Kemudian.

1 comments

Ya. Perkataan ini sering didengari. Kata-kata berkisar tentang tawakal sering juga diungkapkan. Bila mana kita menghadapi sesuatu ujian, bibir ini tak lekang daripada mengatakan, “Tak apalah, aku bertawakal saja kepada Allah. Allah penentu segala” atau “Semuanya Allah dah tentukan, aku tawakal, aku redha”

Begitu mudah diri ini mempergunakan konsep tawakal. Seolah-olah ucapan tawakal itu menjadi ‘last resort’ untuk menyedapkan rasa hati yang gundah gulana. Seolah-olah tawakal ibarat bak mantera atau skrip kehidupan yang diungkapkan setiap kali menghadapi ujian. Tanpa sebarang usaha. Tanpa sebarang keyakinan.

Begitu ramai orang yang menyalahertikan konsep tawakal. Menganggap tawakal itu ialah menyerahkan sebulat-bulatnya kepada Allah tanpa berbuat apa-apa, tanpa berusaha untuk mencari mana-mana yang baik atau yang menyebabkan dan memberikan kebahagiaan. Pendek kata, tawakal itu boleh tanpa perlu ikhtiar, tanpa perlu bekerja ke arah sesuatu yang diharapkan. Hanya perlu meminta, pasti berhasil. Hanya perlu berdoa, pasti dimakbulkan. Sebagai contoh, tidak putus-putus berdoa, “Ya Allah, sembuhkanlah penyakitku” namun tidak pernah berusaha untuk mengubati penyakit diri. Dalam dirinya menganggap, cukuplah aku bertawakal bahawa Allah akan memakbulkan doaku, jika Dia menghendaki penyakitku hilang, maka tentu sihat semula juga. Atau hanya sekadar berdoa “Ya Allah, berjayakanlah diriku dalam peperiksaan” pagi dan petang tanpa sebarang penat lelah. Tidak punya usaha namun mahukan kejayaan dan menganggap tawakal dapat menyelesaikan segala-galanya.

Dan sekiranya panduan tawakkal ini kita ikuti dan kita letakkan dalam kehidupan sehari-hari, nescaya Allah akan memberikan kemudahahan dalam apa jua yang kita bertawakkal kepada-Nya.

Konsep tawakal seperti ini adalah tidak benar. Pada zaman Rasullah s.a.w dahulu pernah diceritakan, bahawa ada seorang sahabat pernah meninggalkan untanya tanpa mengikatkannya pada sesuatu seperti pohon atau yang lain-lain. Lalu baginda RA s.a.w bertanya kepada sahabatnya, “ Mengapa tidak kamu ikatkan? “ Lalu sahabat baginda menjawab,” Saya sudah bertawakal kepada Allah”. RA tampak kurang menyenangi dan tidak bersetuju dengan pendapat sahabat itu, lalu baginda bersabda “Ikatlah dahulu lalu bertawakallah”. Di sini jelas menunjukkan bahawa Islam meggariskan panduan bertawakal untuk meletakkan sesuatu kepada Allah hanya setelah kita berusaha semampunya dalam membuat sesuatu. Dan sekiranya panduan tawakkal ini kita ikuti dan kita letakkan dalam kehidupan sehari-hari, nescaya Allah akan memberikan kemudahahan dalam apa jua yang kita bertawakkal kepada-Nya. Hal ini disebut dalam surah at-Talaq, ayat 2-3 yang berbunyi;


Barang siapa bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan membukakan jalan keluar baginya, dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barang siapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan-Nya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu.

Maka, bertawakallah kita kepada Allah setelah berusaha sedaya upaya dalam melakukan sesuatu. Namun tawakal sahaja tidak cukup. Selarikan tawakal dengan sabar kerana dalam mengejar sesuatu yang diinginkan, perlu ada sifat sabar yang tinggi. Semakin tinggi cita-cita kita, semakin perlunya tinggi sifat sabar dan tawakal itu. Yakinlah kepada Allah. Tinggikan semangatmu dengan peribahasa Arab; man jadda wajadda yang beerti siapa yang berusaha, dia pasti berhasil. Akhir sekali, lengkapkan usahamu dengan doa. Jangan pernah berputus asa dalam berdoa kepada-Nya. Yakinlah bahawa Allah Mendengar,
Melihat dan Mengetahui. Sekiranya sesuatu itu baik untuk diri kita, insyaAllah pasti akan Dia makbulkan, sekiranya tidak, janganlah kita risau dan bersedih hati. Anggaplah ini sebagai ujian supaya kita lebih tinggi sifat sabarnya dan lebih berusaha ke arah sesuatu itu pada masa akan datang. Dengan ini, sabarlah menghadapi musim imtihan. Bertawakallah kepada-Nya setalah dicurahkan segala usaha semampunya dan berdoalah semoga Allah mempermudahkan segala urusan. Yakinlah, di sebalik setiap kesusahan pasti ada kemudahan.

WAllahualam.


1 comment:

  1. setuju. bersusah dahulu, bersenang kemudian.
    usaha+doa++tawakal=kejayaan

    ReplyDelete