FRIDAY WRAP (11/1/2014 - 17/1/2014)

0 comments
Asssalamualaikum wbt dan salam sejahtera.

Kembali lagi bersama Friday Wrap AZAM Russia pada minggu ini.


Polis, Tentera Kempen Senyap
16/1/14

KAHERAH, MESIR- Hari kedua dan terakhir untuk mengundi menentukan Perlembagaan baru di Mesir terus sengit, sehari selepas lebih 10 orang terbunuh semalam.

Jurucakap kerajaan sementara berkata, kawalan keselamatan terus dipertingkatkan bagi mencari pungutan suara sekali gus membuka ruang kepada ketua angkatan tentera pimpinan Jeneral Abdel Fattah Al-Sisi untuk memegang jawatan Presiden.

Dilaporkan oleh wartawan Al Arabiya yang berada di lokasi pengundian, jumlah mereka yang keluar mengundi amat kecil di pinggir Kaherah seperti di daerah Zamalik dan Suez.

"Keadaan ini disebabkan ramai penduduk di pinggir Kaherah merupakan menyokong kuat bekas Presiden Mohamed Mursi sekali gus menyaksikan mereka memboikot pungutan suara tersebut," katanya.

Menurutnya, terdapat segelintir tentera dan polis yang berkawal di pusat mengundi berkempen secara senyap mahukan penduduk mengundi 'ya' untuk memberi kemenangan di pihak mereka.

"Ramai yang memberi undi percaya buat Al-Sisi selepas mereka 'termakan' tawaran daripada bakal presiden itu," katanya.


Ektremis Yahudi Bakar Masjid 
15/1/14

GAZA-Sekumpulan warga Yahudi ekstrimis membakar sebuah masjid di wilayah utara Tebing Barat.
Selain membakar gerbang utama dan beberapa karpet masjid di desa Deir Estia, warga Yahudi juga turut menconteng dinding dengan perkataan Hebrew. 

Menteri Dalam Negeri Palestin Mahmoud Habash, mengutuk perbuatan membakar masjid dan slogan rasis di dinding tersebut. Menurutnya lagi, ketegangan Palestin-Israel semakin meningkat kebelakangan ini setelah beberapa serangan warga Yahudi terhadap rumah warga Palestin.


Ariel Sharon Meninggal Dunia
11/1/14

TEL AVIV, ISRAEL- Bekas Perdana Menteri Israel Ariel Sharon akhirnya meninggal dunia.

Radio Tentera Israel mengumumkan, Sharon meninggal dunia pada usia 85 tahun selepas koma sejak lapan tahun lalu akibat serangan angin ahmar. 

Minggu lalu, kumpulan perubatan hospital Tel Hashomer di sini, mengumumkan kesihatan Sharon makin merosot selepas menjalani pembedahan memasukan tiub saluran makanan, dipetik dari laporan Al Jazeera.


Pengebumian Ariel Sharon dibedil
15/1/14

GENTING GAZA, ISRAEL- Dua roket dilepaskan berhampiran kawasan pengebumian bekas Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon di Shaar HaNegev, semalam. 

Jurucakap polis Micky Rosenfeld bagaimanapun tidak menyatakan roket berkenaan dilepaskan dari kawasan mana tetapi tidak menolak ianya dilakukan oleh sekumpulan individu dari sempadan Gaza. 

"Bom itu disasarkan di bandar Sderot terletak berhampiran sempadan Gaza. Tiada kecederaan atau kerosakan dilaporkan, "katanya kepada Al Arabiya. 

Susulan kejadian itu, polis dan tentera Israel meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan berkenaan.


Banjir Kilat : 13 Maut, 40000 dipindahkan
15/1/14

JAKARTA, INDONESIA- Banjir kilat di Manado, Sulawesi Utara semalam mulai surut hari ini selepas menghanyutkan puluhan rumah dan kenderaan serta mengorbankan 13 orang dan menyebabkan 40,000 orang lagi dipindahkan ke tempat selamat.

Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia menyatakan banjir kilat dan tanah runtuh itu, yang berlaku akibat faktor alam dan antropogenik, telah menjejaskan enam daerah di Sulawesi Utara iaitu Kota Manado, Minahasa Utara, Kota Tomohon, Minahasa, Minahasa Selatan dan Kepulauan Sangihe.

Lima orang maut di Kota Manado, lima lagi di Kota Tomohon dan tiga orang di Minahasa manakala mangsa seorang lagi dilaporkan hilang selepas dihanyutkan air deras di Kota Manado.

"Hujan lebat akibat sistem tekanan rendah di perairan selatan Filipina menyebabkan berlakunya pembentukan awan intensif. Selain itu, adanya tumpuan kesan daripada tekanan rendah di utara Australia sehingga awan-awan besar memasuki wilayah Sulawesi Utara," kata Ketua Pusat Data Maklumat dan Perhubungan Awam BNPB Sutopo Purwo Nugroho dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata empat sungai besar di Kota Manado melimpah dan menghanyutkan puluhan rumah dan kenderaan.


Pelarian Palestin di Kem Yarmouk Mati Kebuluran
14/1/14


SYRIA- Kebuluran semakin menular di kem pelarian Yarmouk. Seramai 30 orang telah syahid kerana kebuluran dan angka tersebut dijangka meningkat.

*lihat page Facebook Aqsa Syarif : Selamatkan Kem Yarmouk


PBB Gesa UE Bantu Pelarian Syria
15/1/14

NEW YORK, AMERIKA SYARIKAT- Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Suruhanjaya Eropah merayu Kesatuan Eropah (EU) supaya menerima keputusan penyelesaian sementara penempatan jutaan pelarian Syria. 

Pesuruhjaya PBB bagi Pelarian Antonio Guterres berkata kepada Al-Jazeera, setakat ini lebih daripada 2.1 juta pelarian dari Syria berada di Jordan, Lebanon, Turki dan Iraq. 

"Ribuan lagi pelarian masih berada di luar sempadan Syria dan tidak mempunyai akses bantuan. Jika mereka tidak mahu menerima pelarian ini, krisis kemanusiaan akan merebak kepada masalah politik. Kami harap, EU melonggarkan syarat kemasukan pelarian ke negara mereka, "katanya. 

Menurutnya, sehingga kini pihaknya tidak mendapat sebarang reaksi positif dari negara tersebut. 

"Saya telah berkali-kali menyeru semua negara, terutamanya di Eropah dan Timur Tengah supaya melanjutkan dan membenarkan pelarian Syria mendapat akses suaka bagi menikmati perlindungan berkualiti," katanya.


China Tahan Ulamak Muslim Uyghur
15/1/14

BEIJING, CHINA - Polis telah menangkap seorang ulama Muslim terkemuka dari etnik minoriti Uyghur dari China Barat. Press TV melaporkan Ilham Tohti ditangkap pada Rabu malam, menurut sebuah laporan yang diterbitkan di websitenya Uighurbiz. 

Ulama tersebut ditangkap di rumahnya, bersama dengan ibunya. Polis turut menggeledah rumahnya dan menyita barang-barangnya. 

Menurut istri Tohti, Guzaili Nu'er, dia telah ditahan untuk beberapa kali sebelum ini tetapi dilepaskan tidak lama kemudian. "Kali ini berbeza. Mereka mengirim petugas keamanan begitu banyak, termasuk polis dari Xinjiang, Beijing dan polis terdekat. Kali ini lebih serius," tambahnya. 

Tohti, seorang ekonomis yang bertugas di Beijing, ditahan kerana kelantangannya bersuara mengecam kerajaan China atas tekanan yang diberikan China kepada kaum etnik Uyghur yang kebanyakannya beragama Islam.


Militia Ancam Afrika
14/1/14

BANGUI, REPUBLIK AFRIKA-Kumpulan militia dan pelampau Kristian, kelmarin mengancam untuk membunuh orang Islam selepas keganasan etnik kembali tercetus di Republik Afrika Tengah.

Media tempatan melaporkan kejadian serangan ke atas masjid dan kecurian kedai serta rumah milik orang Islam juga semakin meningkat sejak akhir-akhir ini.

Seorang penduduk mendakwa orang Islam terutamanya wanita dan kanak-kanak tidak berdosa kini menjadi sasaran di negara itu.

"Mereka sengaja mahu menakut-nakutkan kami dengan tujuan untuk mengusir penduduk Islam," katanya yang enggan identitinya didedahkan kepada umum.

Sementara itu, jurucakap pelampau Kristian memberitahu bahawa tindakan ganas yang dilakukan ke atas penduduk Islam kononnya sebagai 'cara' untuk mewujudkan keamanan di Republik Afrika Tengah.

Konflik berdarah mula melanda negara itu selepas kumpulan militia melancarkan serangan di ibu negara pada Mac lalu.

Bagaimanapun memetik laporan Press TV, ketegangan kembali memuncak selepas Presiden sementara, Michel Djotodia dan Perdana Menteri Nicolas Tiangaye meletak jawatan, Jumaat lalu sebagai usaha untuk meredakan konflik di negara terbabit.


Perhimpunan Tutup Bangkok : Disertai Sejuta Orang
13/1/14

BANGKOK ,THAILAND- Dianggarkan antara beberapa ratus ribu hingga sejuta orang menyertai kempen 'Tutup Bangkok' di tujuh tapak perhimpunan di tengah Bangkok hari ini yang menghalang lalu lintas di beberapa jalan utama. 

Perhimpunan itu bertujuan mendesak peletakan jawatan Perdana Menteri sementara Yingluck Shinawatra dan penangguhan pilihan raya umum pada 2 Februari, yang dijangka berlarutan antara beberapa hari hingga beberapa minggu. 

Kesan langsung adalah jalan menghala ke tengah Bangkok, yang lazimnya sibuk dan seringkali sesak, hampir lengang atau tiada lalu lintas sama sekali memandangkan penduduk sama ada memilih untuk menjauhkan diri atau menggunakan pengangkutan altertif misalnya perkhidmatan tren.


Maulidur Rasul disambut Penuh Kecintaan
14/1/14

KUALA LUMPUR - Maulidur Rasul tahun ini disambut di seluruh negara dengan penuh keinsafan dan kecintaan bagi memperingati jasa dan perjuangan junjungan besar Nabi Muhammad SAW 

Sambutan peringkat kebangsaan berlangsung di Masjid Putra, Putrajaya dimulai dengan perarakan sejauh 1.7km, disertai 13,598 peserta daripada 151 kontinjen bermula di bangunan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Persiaran Perdana menuju Masjid Putra. 

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berkenan berangkat ke sambutan Maulidur Rasul 1435H/2014M bertema 'Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah' di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan itu. 

Penceramah terkenal, Ustaz Mohd Kazim Elias turut diundang menyampaikan ceramah mengenai personaliti dan sifat Rasulullah SAW yang perlu dicontohi seluruh umat Islam.


Sekian sahaja untuk minggu ini.  Semoga bermanfaat.


Al-Imran : 139
“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yg paling tinggi derajatnya, jika kamu orang-orang yang beriman”


Post a Comment