FRIDAY WRAP ( 15-21 NOVEMBER 2013)

0 comments
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Friday Wrap pada minggu ini membawakan kepada anda isu-isu semasa dunia Islam yang kini menjadi topik perbualan.


600 Pemuda Arab Saudi Sertai Jihad di Syria
Sabtu, 16/11/2013


DUBAI - Dianggarkan 600 orang Arab Saudi telah bergabung dengan pejuang bebas di Syria menentang rejim Bashar Assad. Turut dilaporkan ramai warga Arab Saudi berjuang dalam kumpulan Islamic State di Iraq, Islamic State di Syria dan Front Al-Nusra. Walaupun pejuang Saudi hanya sejumlah kecil jika dibandingkan dengan pejuang dari negara asing lain yang bergabung dalam perjuangan jihad di Syria, mereka tetap terus memberikan sokongan kewangan kepada mangsa-mangsa yang tertindas.


9 Muslim Uighur Meninggal Dalam Pertempuran Dengan Polis China
Isnin, 18/11/2013


URUMQI - Mengambil tindakan melampau terhadap penunjuk perasaan Muslim Uighur di depan pejabat polis Xinjiang, pasukan keselamatan telah menembak mati sekurang-kurangnya sembilan penunjuk perasaan Uighur dan menangkap sejumlah peserta mencetuskan kecaman dari kumpulan hak asasi.

Kejadian berlaku pada sabtu malam di bandar Serikbuya berhampiran bandar Kashgar. Saksi berkata pertembungan meletus selepas seorang pemuda Uighur mati ditembak. Lapan penunjuk perasaan lain turut meninggal ketika pegawai keselamatan China menembak penunjuk perasaan Uighur, kumpulan etnik terbesar di wilayah barat.

Pertembungan ini terjadi menyusul serangan pada 28 Oktober ketika sebuah kereta melanggar dan menyebabkan kematian dua orang pelancong berhampiran Tiananmen Square. Pemerintah China menyatakan kejadian ini sebagai keganasan, menuduh Muslim Uighur yang merancang serangan. Muslim Uighur menolak tuduhan dari kerajaan China mengenai "serangan pengganas" Tiananmen dan menyatakan hal ini sebagai dalih untuk menindas warga Muslim di China.


Kampung-kampung di Kashmir Jadi Sasaran Serangan Haiwan Buas
Isnin, 18/11/2013

Gambar : Harimau yang berjaya ditangkap penduduk

KASHMIR - Dua puluh tiga tahun konflik di lembah Kashmir menyebabkan harimau, beruang hitam dan serigala turun ke kawasan perumahan dan menyerang sejumlah muslim Kashmir yang sering trauma dengan konflik tersebut. Dalam beberapa tahun terakhir, kampung-kampung di Kashmir telah menjadi medan pertempuran bagi haiwan liar di mana banyak penduduk Kashmir kehilangan nyawa atau cedera kerana serangan binatang buas tersebut.

"Hampir tidak ada desa selatan dan utara Kashmir di mana haiwan -haiwan liar tidak kelihatan berkeliaran di kawasan kediaman," kata warga tempatan Vailoo Kokernag yang telah kehilangan anaknya yang berusia sembilan tahun dalam serangan binatang buas.

Dia menambah bahawa haiwan liar terutama harimau dan beruang telah menyebabkan keganasan di lembah Kashmir kerana ratusan orang telah kehilangan nyawa dan jumlah mereka yang cedera turut meningkat. Baru-baru ini, harimau telah menyebabkan kematian tiga orang di desa Doru Anantnag.


Lembaga Kemanusian Islam Bantu Korban Taufan Haiyan
Isnin, 18/11/2013


MANILA - Harapan mula bersinar di kawasan yang dilanda taufan Haiyan di Filipina. Sejumlah organisasi-organisasi Muslim di seluruh dunia giat memberikan bantuan kepada mangsa ribut. Taufan Haiyan melanda Filipina 8 dan 9 pada November. Dianggarkan sekurang-kurangnya 3,974 orang maut manakala 1,186 hilang. 4 juta dianggarkan berpindah akibat bencana alam ini.

Hanya dalam masa 48 jam DEC telah berjaya mengumpul 23 juta pound untuk korban Topan Haiyan di Filipina. Hingga 15 November, Islamic Relief telah membantu mengedarkan pakej makanan di daerah yang hancur di Cebu untuk kira-kira 70,000 orang. Islamic Relief AS juga telah melancarkan bantuan sebanyak 1 juta dollar untuk usaha kemanusiaan di Filipina. Fokus pada bantuan kecemasan yang mungkin termasuk bantuan makanan, perkhidmatan perlindungan dan lain-lain.


Komander Brigade Al Tauhid Aleppo Syahid
Isnin, 18/11/2013


Damsyik - Seorang komander tentera pembebasan Syria telah meninggal akibat kecederaan yang dialami dalam serangan udara di bandar Aleppo. Kematian Abdelqader Saleh (gambar), Komandan Brigade Al -Tauhid telah diberitakan dalam sebuah pernyataan Reuters.

Saleh mengalami kecederaan pada hari khamis selepas pasukan Assad menyerang Brigade Al -Tauhid dan membunuh komander yang lain. Saleh meninggal sewaktu dalam perjalanan ke pusat rawatan di Turki. Saleh yang turut dikenali sebagai Haji mareh adalah seorang pedagang dari bandar mareh di utara luar bandar Aleppo. Beliau telah menganjurkan brigade di wilayah itu di bawah bendera Tauhid.


Hujan Lebat di Riyadh, Jalan Banjiri
Isnin, 18/11/2013


RIYADH - Hujan lebat membanjiri ibu negara Arab Saudi, Riyadh pada sabtu malam. Banjir mengakibatkan ganguan lalu lintas jalan dan memaksa pihak kerajaan menutup sekolah-sekolah. Pihak Pertahanan Awam Arab Saudi mendesak masyarakat di Riyadh untuk menetap di dalam rumah masing-masing sehingga banjir reda.

Wartawan melaporkan pasukan keselamatan dan pertahanan awam telah mengambil tindakan bagi menangani setiap keadaan dan kecemasan yang mungkin timbul. Arab Saudi, seperti negara-negara padang pasir lain, jarang dilimpahi banjir. Lembaga kaji cuaca mengeluarkan amaran baru dianggar tiba pada hari minggu di Riyadh dan bahagian-bahagian lain dalam negara tersebut.


Masjid Pertama Sweden Yang Mengumandangkan Azan Dilempar Kepala Babi
Rabu, 20/11/2013


STOCKHOLM - Sebuah masjid pertama yang diberikan izin untuk mengumandangkan azan di Sweden mendapatkan serangan anti- Islam setelah kepala babi dilemparkan ke arah masjid dan kaca pintu utamanya. Insiden ini diklasifikasikan sebagai tindakan  vandalisme' dan kebencian, menurut laporan polis. Masjid Fittja telah dibina di daerah Fitjja di pinggir selatan Stockholm pada tahun 2007 dan mampu menempatkan kira-kira 1,500 jemaah.

Azan pertama di Sweden dikumandangkan menggunakan pembesar suara dari Masjid Fittja pada hari Jumaat 26 April. Kebenaran mengumandangkan azan ini hanya dibenarkan pada hari Jumaat membolehkan umat Islam untuk mengumandangkan azan selama tiga hingga lima minit dari jam 12:00-1:00 petang. Warga Muslim dikawasan ini dianggarkan seramai 450,000 hingga 500,000 orang dari 9 sembilan juta penduduk di Sweden, menurut laporan Kementerian Luar Negeri AS pada tahun 2011.


7 Kali Serangan Udara Israel Hantam Gaza Hari Selasa
Rabu, 20/11/2013


GAZA - Rejim Israel telah melakukan beberapa serangan udara di Sempadan Gaza. Namun belum ada laporan mengenai mangsa yang terkorban. Menurut sumber-sumber Palestin, pesawat-pesawat Israel melancarkan sekurang-kurangnya tujuh serangan udara di utara dan selatan dari sempadan Gaza pada hari Selasa, 19 November. Serangan-serangan itu adalah serangan kedua dalam beberapa minggu terakhir.

Seorang jurucakap tentera Israel menyatakan bahawa serangan udara dilakukan sebagai tindak balas atas satu serangan roket yang dilancar dari Gaza pada hari sebelumnya. Minggu yang lalu, rejim Tel Aviv dilaporkan telah melakukan dua serangan udara di sempadan Gaza.

Tentera Israel yang tidak pernah berhenti mengebom sempadan Gaza berdalih bahawa serangan itu dilakukan bertujuan mempertahankan diri. Namun, kekuatan yang tidak seimbang dan melampau selalu digunakan, terutama yang melanggar undang-undang antarabangsa. Orang awam sering menjadi sasaran korban dan mangsa kecederaan.


2 Orang Meninggal Dalam Pertempuran di Al Azhar Mesir
Khamis, 21/11/2013


KAHERAH - Dua orang meninggal pada hari rabu dalam pertembungan antara pasukan keselamatan Mesir dan ribuan pelajar di Universiti Al-Azhar di Kaherah. Lebih daripada 1,500 pelajar sebelum pertempuran tersebut telah melakukan perarakan panjang dari kampus yang terletak di wilayah Nasr City ke bangunan pusat pentadbiran Al-Azhar, laman berita milik kerajaan Al-Ahram melaporkan.

Apabila pelajar berusaha mendekati kawasan tersebut, pihak keselamatan kemudiannya memaksa mereka untuk kembali ke kampus. Laporan sebelum ini menyatakan bahawa bangunan kampus dibakar, tetapi pekerja universiti kepada Al Arabiya News Channel mengatakan hanya sejumlah pokok yang terbakar. Laporan turut mengatakan puluhan mahasiswa ditahan oleh pihak polis.

Mereka meneriakkan slogan-slogan menentang kementerian dalam negeri dan Jeneral Abdel Fattah al- Sisi.

Mereka turut menuntut turunnya Imam Al-Azhar, Syeikh Ahmed el Tayeb dan Presiden Universiti Al-Azhar Osama el-Abd. Mereka dituduh menggunakanperkaitan agama bagi menutup kejahatan pemerintah hasil rampasan kuasa tentera. Minggu lalu, mahkamah telah menjatuhkan hukuman 17 tahun penjara kepada 12 orang mahasiswa kerana menyerang bangunan pentadbiran universiti.

Sekian sahaja lampiran berita semasa pada minggu ini. Semoga bermanfaat.

“Barang siapa yang berhijrah di jalan Allah niscaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezki yang banyak. Barangsiapa yang keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka sungguh telah tetap pahalanya di sisi Allah. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (An-Nisa: 100)

Bersama Mendalami Erti Hijrah


Post a Comment