Program ‘Training’ Fasilitator AZAM Russia

4 comments
Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillah tsumma Alhamdulillah tsumma Alhamdulillah.

Segala puji kita panjatkan kepada Allah SWT yang telah mengizinkan AZAM Russia melaksanakan beberapa program training untuk para fasilitator serta program Palestin pada musim cuti tahun baru lepas. Buat julung kalinya, kita telah menjemput Professor Madya Ustaz Hasanuddin Yunus dan isterinya, Puan Sharifah Mahiza sebagai trainer.

Ustaz Hasanuddin merupakan antara pengasas Aqsa Syarif – sebuah NGO Palestin di Malaysia yang tak asing lagi. Beliau turut mendapat julukan ‘Wira Negara’ selepas kapal Mavi Marmara yang dinaikinya dalam misi kemanusiaan Palestina ‘Freedom Flotilla’ diserang oleh tentera terkutuk Israel. Mempunyai latar belakang Bahasa Arab dan Psikologi, Ustaz kini merupakan Kaunselor di CUCMS (Cyberjaya University College of Medical Sciences) selain aktif dalam NGO IKRAM dan kini menyandang jawatan selaku Yang Di-Pertua IKRAM Negeri Selangor.


Sebagai ‘pembuka tirai’ kepada tahun baru 2013, program kesedaran Palestin ‘Di Sebalik Tirai Palestina’ telah diadakan di Volgograd. Antara yang menjadi kenangan manis ketika progam Palestina itu adalah apabila ustaz membelanja para peserta dengan nasi lemak yang dibeli dari gerai AZAM.

Program tersebut kemudiannya diikuti dengan Seminar Intensif Russia, iaitu program training para fasilitator yang berlangsung di 2 bandar utama – Volgograd dan Moscow. Para fasilitator ini terdiri daripada mereka yang membantu AZAM dalam mengelolakan program-program anjuran AZAM seperti usrah mingguan dan event-event lain. Program training ini bertujuan untuk memberi kefahaman islam kepada para fasilitator selain melatih para fasilitator dengan kemahiran menghafal, kemahiran bercakap, keyakinan diri dan juga team-building.

Kedua-dua Seminar Intensif Rusia di Volgograd dan di Moscow dilaksanakan selama 3 hari dan 2 malam. Training di Volgograd dihadiri oleh para fasilitator dari Volgograd sendiri dan diikuti dengan program training di Moscow. Di Volgograd, penyertaan para fasilitator melebihi 30 orang dari kawasan Volgograd sendiri. Manakala di Moscow, kehadiran fasilitator mencecah hamper 200 orang dari bandar Moscow sendiri dan bandar-bandar lain seperti Nizhny Novgorod, Kursk dan St Petersburg.


Pihak AZAM mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pihak kedutaan yang menyokong usaha ini. Juga tentunya kepada Ustaz Hasanuddin sekeluarga yang telah ‘meminjamkan’ ibu bapa mereka buat kita di Russia untuk beberapa ketika lebih-lebih lagi di sekitar awal tahun baru yang sinonim dengan musim buka sekolah. Pihak AZAM juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penaja program yang terdiri daripada pelbagai pihak seperti ‘abang-abang dan kakak-kakak’ bekas graduan Rusia, orang-orang persendirian, para kakitangan Hospital Pakar An-Nur dan juga NGO yang disertai oleh Ustaz Hasanuddin sendiri iaitu Pertubuhan IKRAM Malaysia. Moga-moga Allah memberi kelapangan rezeki kepada mereka agar mereka dapat menyumbang dengan lebih banyak lagi pada masa-masa hadapan. Adalah menjadi harapan kita agar program kesedaran Islam sedemikian dapat dianjurkan bukan sahaja untuk para fasilitator, tapi untuk komuniti Muslim Malaysia di Rusia dalam skala yang lebih besar di tempat yang lebih besar di bumi Rusia yang agak tinggi kos sara hidupnya.

Buat para peserta yang masih merindui memori berprogram, sekian banyak orang menyumbang dan berkorban agar kita menjadi lebih terlatih dalam men-deliver Islam kepada masyarakat dan teman-teman sekeliling. Moga-moga ilmu dan semangat yang kita serap, ambil dan sedut daripada ustaz dan ummi akan kita lahirkan dalam bentuk amal Islami yang memberi manfaat kepada seluruh komuniti Muslim Malaysia di Rusia dan tentunya, kepada seantero umat manusia! Islam rahmatan lil ‘alamin! ☺


4 comments:

  1. Sebaliknya kami suami isteri yang banyak belajar dari antum yang dimuliakan Allah S.W.T

    الحق بلا نظام يغلبه الباطل بنظام

    Hasanuddin Mohd Yunus dan Sharifah Mahiza Syed Abd Kadir

    ReplyDelete
  2. Jazakallah khayr kathir.. Moga2 Allah permudahkan segala urusan..

    ReplyDelete