Pisang Goreng Panas

0 comments
[kredit]


Assalamualaikum,
Fuhhhh... seronoknya tengok rakan-rakan berjalan sana-sini menikmati cuti musim panas ni. Oopss! Bukan musim panas je yang best, berita-berita panas pun makin banyak bertebaran ke sana ke mari macam pisang goreng panas! Maklumlah, cuti-cuti ni ramai kawan yang free untuk bergosip di kedai kopi!
Rasulullah S.A.W bertanya para sahabat: “Adakah kamu tahu apa makna mengumpat?”
Para sahabat menjawab: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.”
Rasulullah S.A.W menjelaskan yang bermaksud: “Kamu menyebut sesuatu tentang saudaramu yang ia benci.”
Sahabat bertanya: “Sekiranya apa yang saya sebutkan itu benar-benar wujud, adakah dikira mengumpat juga?”
Rasulullah S.A.W menerangkan: “ Sekiranya apa yang kamu sebut itu benar wujud berlaku, maka kamu dikira mengumpat. Dan sekiranya apa yang kamu sebut itu tidak benar, maka kamu dikira telah memfitnahnya.”
[Hadis riwayat Imam Muslim]
Mengumpat diibaratkan bagai memamah daging saudara sendiri. Eeee... takkan tak jijik? Selama ni kita penat menjaga diet dengan memilih makanan yang baik-baik, tiba-tiba makan sesuatu yang kotor. Astaghfirullah, kadang-kadang terlepas juga satu dua daripada mulut ini sendiri. Namun Allah yang Maha Pengasih turut menyebut bahawa pintu taubat tetap terbuka di dalam ayat:
“...dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” [Al-Hujurat:12]
Macam mana pula kalau anda adalah salah seorang daripada mangsa umpatan?
"Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang- orang yang sabar. " [ An-Nahl : 126 ]
Adalah lebih baik untuk kita bersabar dan memaafkan mereka. Apalah gunanya menyimpan dendam? Diri kita sendiri juga yang akan merana di pengakhiran nanti. InsyaAllah dengan memberikan kemaafan, kita juga akan menjadi lebih tenang dan tenteram.
Di sini ingin saya kongsikan beberapa tips untuk mengelak diri daripada mengumpat:

  1. Banyak mengingati Allah.
  2. Ingatlah keburukan diri sendiri.
  3. Ikuti umpatan yang didengari dengan doa ikhlas.
  4. Berwudhu’ dan berkumur-kumur sambil berdoa agar dijauhkan daripada dosa mengumpat.
  5. Sumbatkan telinga anda. Dengarlah alunan nasyid mahupun bacaam ayat-ayat al-Quran, paling tidak pun... lagu-lagu supaya telinga kita tidak dicemari dengan umpatan-umpatan.
  6. Bayangkan diri anda berada di tempat individu yang sedang diumpatkan. Mesti  rasa sedih dan geram! Begitu juga perasaan si dia... Jadi, janganlah mengumpat, andai anda sendiri tidak ingin diumpatkan...

Lidah tidak bertulang. Jadi memang susah untuk menahan diri daripada bercerita mengenai berita-berita ‘hot’ yang meliar. Tapi ingat, practice makes perfect. Hal ini tidak mustahil, namun memerlukan latihan yang berterusan. Marilah kita bersama-sama berusaha untuk menjaga percakapan kita bermula daripada saat ini. InsyaAllah, mudah-mudahan mendapat pertolongan daripadaNya.
Wallahua’lam.

Oleh: A.H.


Post a Comment