FRIDAY WRAP ( APR 22 - APR 27 )

0 comments
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Maha Penyayang.
Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Azam Russia membawakan anda bingkisan berita-berita dunia minggu ini.



TRIPOLI, Libya - Seorang jurucakap pemerintah Libya mengeluarkan peraturan bagi mengharamkan pembentukan parti politik berteraskan prinsip agama.
Jurucakap Majlis Peralihan Kebangsaan yang mentadbir Libya, Mohammed Al-Hareizi berkata, undang-undang berkenaan yang berkuat kuasa semalam digubal bagi mengekalkan "penyatuan nasional".
Namun, ia pasti akan mencetuskan kemarahan parti berteraskan agama seperti Ikatan Ikhwanul Muslimin yang merupakan kumpulan politik utama di negara Afrika Utara berkenaan.
Kumpulan-kumpulan Islam telah lama dikongkong oleh bekas diktator Libya, Muammar Gaddafi.



ISLAMABAD - Pihak berkuasa Pakistan semalam berjanji satu siasatan menyeluruh akan dilakukan berhubung nahas penerbangan domestik milik syarikat Bhoja Air yang mengorbankan 127 orang.
Menurut pihak berkuasa, semua kemungkinan akan disiasat bagi mengenal pasti punca nahas.
"Kami sedang berusaha untuk mengenal pasti sama ada tempoh usia pesawat telah tamat, sama ada nahas berlaku akibat masalah teknikal, perbuatan sabotaj ataupun sebab lain," kata Menteri Dalam Negeri, Rehman Malik.
Menurutnya, pemilik Bhoja Air, Farooq Bhoja dilarang daripada meninggalkan Pakistan bagi memastikan beliau memberikan kerjasama dalam siasatan tersebut.
"Kami akan mengambil tindakan, saya berjanji kepada anda," ujarnya.
Semua 127 orang yang berada di dalam sebuah Boeing 737 Bhoja Air termasuk 11 kanak-kanak dan enam kru maut apabila pesawat berkenaan terhempas dan terbakar ketika ia cuba mendarat dalam cuaca buruk di lapangan terbang Islamabad di sini petang kelmarin.


BEIRUT - Tentera Syria menembak mati empat orang awam di dalam sebuah bas dan pertempuran berlanjutan di Damaskus, kata seorang ahli pembangkang.

Di bandar Hama, yang majoriti penduduknya anti-Assad, sebuah bangunan meletup dan membunuh sekurang-kurangnya 12 orang dan mencederakan puluhan lagi. 
Satu lagi kumpulan aktivis, Kumpulan Penyelarasan Tempatan mengatakan, letupan itu disebabkan oleh roket yang disasarkan ke bangunan itu dan bilangan mangsa yang terkorban melebihi 54 orang termasuk beberapa orang kanak-kanak.

Bagaimanapun, tiada sebarang komen dikeluarkan oleh kerajaan Syria berkenaan insiden itu, sebaliknya mereka mendakwa komited terhadap genjatan senjata yang diputus oleh utusan damai PBB-Liga Arab, Kofi Annan.


TOKYO - Beberapa ahli astronomi Jepun mengumumkan semalam bahawa mereka telah menemui satu gugusan galaksi sejauh 12.72 bilion tahun cahaya dari Bumi.
Mereka mendakwa gugusan galaksi itu adalah yang paling jauh pernah ditemui setakat ini.
Penemuan gugusan galaksi berkenaan yang dipercayai wujud hampir satu bilion tahun selepas kelahiran alam semesta dibuat dengan menggunakan sebuah teleskop berkuasa tinggi di Pulau Hawaii, Amerika Syarikat.
"Ia menunjukkan gugusan galaksi telah wujud pada peringkat awal kewujudan alam semesta, kurang satu bilion tahun daripada usia cakerawala yang kini mencecah 13.7 bilion tahun," kata kumpulan ahli astronomi itu dalam satu kenyataan media.

 Sekian saja beberapa berita dunia yang sempat kami kongsikan bersama anda. Semoga hujung minggu anda dapat dimanfaatkan sebaiknya.
Jangan lupa untuk bersama-sama menyertai Hari Keluarga yang dijadualkan pada 1 Mei ini

Juga ada video teaser sempena hari keluarga tu nanti
Jom. Sama-sama kita jalin ukhuwah antara kita  :)


Assalamualaikum.










Post a Comment